Tugas Juruterbang BUKAN setakat menekan butang AUTOPILOT - Siri 6


Assalamualaikum dan selamat pagi sahabat "Aviator"!


Soalan kuiz hari ini ialah:

Apakah bahagian terpenting bagi sebuat kapal terbang?


Tugas am bagi setiap juruterbang adalah memastikan pesawat yang diamanahkan oleh syarikat penerbangan untuknya bertugas, tiba dari lapangan terbang berlepas ke destinasi dengan selamatnya. (Dengan izin Allah)


Bagi sebuah pesawat A380 misalnya, jumlah penumpang adalah seramai 494 orang. Apabila pesawat berlepas sahaja dari terminal, tanggungjawab ke atas penumpang dan semua krew adalah terletak pada bahu captain penerbangan tersebut.


Seorang captain mempunyai kuasa penuh ke atas penumpang, selagi mereka berada di dalam kapal tersebut. Kuasa ini adalah untuk memastikan keselamatan kepada penumpang lain. 


Situasinya begini, ada seorang penumpang yang bertindak mengganggu penumpang lain, dengan suara, fizikal ataupun dengan sebarang gangguan lain yang tidak dapat dikawal. Krew penerbangan boleh menggari penumpang tersebut atas kebenaran Captain. Apabila tiba di lapangan terbang, penumpang akan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan.


Jika ada penumpang yang mempunyai masalah kesihatan pula, krew kabin akan membantu dengan alat bantuan yang ada di dalam pesawat. Jika masalah yang kronik membabitkan nyawa, Captain akan mengambil kira lapangan terbang terdekat, yang mempunyai kelengkapan yang cukup untuk membantu penumpang tersebut.


Semua faktor akan diambil kira berdasarkan 4 perkara berikut:


1: Keselamatan

2: Mematuhi undang-undang

3: Ekonomikal

4: Dapat dilaksanakan


Sekian sahaja untuk siri kali ini.


AUTOPILOT hanyalah sistem bantuan kepada juruterbang. Ia tidak dapat berfikir dan bertindak sendiri tanpa input dari juruterbang. 


Jadilah seorang yang bijak dengan mengatakan "Tugas juruterbang bukan setakat menekan butang Autopilot".


Anda mampu mengubahnya..

6: Pilot vs Tugas

Tugas Juruterbang BUKAN setakat menekan butang AUTOPILOT - Siri 5




Assalamualaikum dan selamat pagi sahabat "Aviator"!


Soalan kuiz hari ini ialah:

Apakah nama lapangan terbang bagi OEJN?


Saya berasa sedikit sayu pada hari ini. 5 tahun dahulu, semasa bertugas sebagai juruterbang mengendalikan pesawat Boeing 737-400 atau B734, ada peluang untuk mengendalikan pesawat lebih besar iaitu Airbus 330 atau A330. Semasa itu A330 ada mengendalikan penerbangan ke Jeddah.


Dengan hajat di hati ingin membawa penerbangan ke Jeddah membawa jemaah haji dan umrah, saya memohon untuk menyertai A330. Apabila selesai latihan, apa yang mengejutkan saya, A330 tidak lagi membuat penerbangan ke Jeddah. Setelah itu, saya meneruskan rutin kerja dengan pesawat baru dengan hati terbuka.


Setelah menunggu hampir 5 tahun, akhirnya A330 kembali membawa penumpang ke Jeddah. Saya gembira, dan semalam, saya bersama krew lain, membawa jemaah umrah dan penumpang untuk MH150 dan MH151.


Di dalam gambar, ini adalah "chart" untuk membuat pengumuman bagi kawasan Miqat iaitu tempat terakhir bagi jemaah berniat umrah. Dengan berpandukan rajah, saya memasukkan arah lokasi ke dalam FMC bagi mendapatkan lokasi dan masa yang tepat melalui kawasan Miqat.


Setelah itu saya akan mengumumkan kepada penumpang, agar jemaah yang yang berniat umrah dapat melakukan persiapan akhir seperti memakai ihram dan berniat ihram bagi yang belum.


Semoga, para jemaah dapat melakukan ibadah umrah dengan sempurna. Jika anda perhatikan di dalam "chart" tersebut, kawasan Mekah adalah kawasan LARANGAN penerbangan ke atas ruang udaranya, bagi mengHORMATI kesucian Kaabah.


Sekian sahaja untuk siri kali ini.


AUTOPILOT hanyalah sistem bantuan kepada juruterbang. Ia tidak dapat berfikir dan bertindak sendiri tanpa input dari juruterbang. 


Jadilah seseorang yang bijak dengan mengatakan "Tugas juruterbang bukan setakat menekan butang Autopilot".


Anda mampu mengubahnya.

5: Jeddah flight & Miqat

Tugas JURUTERBANG BUKAN setakat menekan butang AUTOPILOT - SIRI 4




Selamat pagi sahabat "Aviation" semua!


Soalan kuiz hari ini ialah:

Ada dua jenis Airbus 330 yang digunakan oleh Malaysia Airlines, apakah siri A330 untuk Kargo?


Pada sekitar tahun 2000, sebuah pesawat dari Beijing ke Kuala Lumpur berlepas membawa bahan kimia yang tidak diisytihar dengan betul oleh sebuah syarikat di China. 


Ia terbang seperti biasa, membawa muatan penumpang dan kargo. Setelah mendarat di KLIA, penumpang pun keluar dari pesawat, begitu juga muatan kargo.


Semasa muatan dibawa keluar, staff kargo mengadu sakit. Beberapa kesan dari bahan kimia yang dibawa didapati merosakkan bahagian kapal, dan akhirnya kapal tersebut ranap sepenuhnya akibat kebocoran bahan kimia tersebut.


Apa yang ingin saya tekankan pada episod kali ini ialah, tugas yang dikatakan sesenang menekan Autopilot ini sebenarnya mempunyai banyak risiko kepada krew penerbangan, bahkan juga penumpang yang dibawa.


Masyarakat kita pada hari ini, terdedah dengan maklumat semudah dihujung jari. Patuhilah peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. JANGAN membawa barang barang yang pelik-pelik ke dalam pesawat, apatah lagi yang dilarang.


Mujur kes yang berlaku di atas hanya merosakkan pesawat sahaja, dan penumpang selamat. Jika bahan tersebut merosakkan pesawat semasa penerbangan, apalah nasib penumpang dan krew penerbangan tersebut.


AUTOPILOT hanyalah sistem bantuan kepada juruterbang. Ia tidak dapat berfikir dan bertindak sendiri tanpa input dari juruterbang. 


Jadilah seseorang yang bijak dengan mengatakan "Tugas juruterbang bukan setakat menekan butang Autopilot".


Anda mampu mengubahnya.

4: Dangerous Goods

TUGAS JURUTERBANG BUKAN SETAKAT MENEKAN BUTANG "AUTOPILOT" SIRI 1



Soalan kuiz hari ini ialah:

Apakah nama penuh ND?


Ada 6 alat paparan yang sama ukuran di dalam ruang kemudi Airbus 330. 4 daripadanya berfungsi untuk memaparkan EFIS. EFIS ialah electronic flight instrument system. ND adalah salah satu daripada 2 paparan EFIS.


Sila rujuk gambar. Ini adalah ND2 di bahagian co-pilot. ND boleh memaparkan 6 jenis pilihan maklumat iaitu ROSE LS, ROSE VOR, ROSE NAV, ARC, PLAN dan ENG. ND juga boleh memaparkan RADAR cuaca, kecuali dalam pilihan PLAN. Seperti di dalam gambar, ini adalah pilihan ARC. 


Anda boleh lihat ada 4 bentuk berlian ♦️didalam paparan. Ia adalah maklumat pesawat yang terbang berdekatan kita. Di sebelahnya ada nombor yang memberi maklumat ketinggian pesawat tersebut.


Di sepanjang laluan penerbangan, bukan hanya kapal terbang kita yang menggunakan laluan udara ini. Ada banyak lagi pesawat lain yang terbang melaluinya. Tugas juruterbang bagi memantau pesawat lain dengan menggunakan ND ini.


Pesawat-pesawat ini boleh terbang naik ataupun turun. Jika ia terbang di paras ketinggian yang kita lalui, kemungkinan kemalangan boleh berlaku. AUTOPILOT tidak dapat bertindak apa-apa jika kemungkinan ini berlaku. Jadi saya rasa anda boleh agak ia tugas siapa kan?


Jadilah seseorang yang bijak dengan mengatakan "Tugas juruterbang bukan setakat menekan butang Autopilot".


Anda mampu mengubahnya.

1: ND

Artikel 35: Pilot Realiti dan Pilot TV
by The Pilot


"Bila kamu tak tahan penatnya belajar, maka kamu akan menanggung perihnya kebodohan.. "
~Imam Syafie~

1. Nampak memang seronok dan indah. Dalam drama, mereka tunjuk Pilot tarik beg, berlegar legar di airport, jumpa jodoh, borak borak cinta, cewah! Hakikat yang tidak diketahui ialah kehidupan seorang pilot sebenarnya proses pembelajaran yang berterusan, sejak dari flying school, belajar, ujian, belajar, ujian tak habis-habis. Pendek kata memang tak boleh dipisahkan sampailah dia pencen nanti.

2. Semasa di flying school dia perlu belajar dalam kelas ground school untuk melalui exam PPL, CPL dan ATPL. Setiap ujian ini mengandungi 5 ke 8 subjek yang perlu dijawab dengan lulus. Markah lulus pula ialah 80%! (Lulus 80%?? Ya betul, itulah jangan tak tahu ya. Asyiklah sangat tengok tv tu.) Selain itu, dia perlu mempelajari type tech yang menjurus kepada mempelajari sistem pesawat dan limitation. Dia juga perlu mempelajari SOP mengendalikan pesawat single engine dan multi engine serta ujian menerbangkan pesawat.

3. Setelah dia melaporkan diri pada airline tertentu, dia kena mempelajari sistem pesawat yang lebih besar seperti Boeing 737. Manual untuk mengendalikan pesawat ini pula ada sebanyak 7-10 manual setebal 4 inci. Latihan demi latihan dalam simulator dia jalani sehinggalah dia boleh mengendalikan simulator dengan baik. Latihan ini termasuk latihan kecemasan seperti membuat takeoff dan landing bagi pesawat yang mengalami kerosakan enjin, 'decompression' dan sebagainya.

4. Ujian SEP (safety emergency procedure) bagi proses meninggalkan pesawat selepas melakukan pendaratan cemas, berenang, berkumpul, mengendalikan penumpang yang bermasalah, mengendalikan ancaman bom, mengendalikan penumpang sakit, keupayaan survivor di hutan, laut dan banyak lagi, ini pula dijalani setahun sekali.

5. Paling lumrah dalam kehidupan seorang pilot ialah dia kena menghadapi 'base check' dua kali dalam setahun ataupun lebih tepat lagi ialah pada setiap 6 bulan. Macam peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun lah kiranya base check ini. Ujian seperti normal procedure dan abnormal procedure diuji dalam simulator (model pesawat yang boleh bergerak 3 paksi di dalam sebuah dewan tertutup). Biasanya dijalankan dalam 3 hari termasuk ulangkaji CBT(computer base training)

6. Satu lagi ujian yang perlu dilalui oleh pilot ialah English Proficiency. Ujian ini baharu sahaja diperkenalkan pada 2010. Bagi yang mencapai Level 4, perlu menduduki ujian setiap 3 tahun, Level 5 setiap 6 tahun dan Level 6 pula tidak perlu lagi seumur hidup! :)

7. Kelas CRM (crew resource management) di jalankan dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan Airline tersebut. Ia juga adalah satu cara bagi memberi latihan kepada pilot dan krew kabin terutamanya bagi mengendalikan SOP normal dan abnormal. Isu-isu terkini akan disentuh bagi mencegah 'incident' dan 'accident' dan menambah kecekapan penerbangan.

8. Setiap tahun, pilot perlu melalui ujian kesihatan. Kita maklum bahawa ia penting bagi memastikan keupayaan kesihatan juruterbang yang baik bagi mengendalikan beratus-ratus penumpang. Saya pasti anda mahu pesawat yang dikendalikan oleh pilot yang sihat bukan?

9. Oh ya, ada satu lagi ujian yang perlu dijalani setiap tahun oleh pilot. Ia dipanggil 'line check'. Ujian ini dijalankan pada pesawat sebenar, bagi memastikan pilot mengikut SOP ataupun standard operation procedure yang terkini. Seorang instructor yang juga seorang captain, akan duduk di dalam kokpit dan memerhatikan bagaimana pilot mengendalikan pesawat.

10. Nah, jika anda berjaya membaca sampai ke poin yang ke 10 ini, saya pasti anda adalah seorang yang cekal dan boleh mengikuti latihan sebagai seorang pilot. Saya doakan anda berjaya. Jumpa anda nanti setelah anda menyarungkan jersi eh, maaf, uniform seorang juruterbang :) ehem ehem.

Sekarang anda telah pun ketahui serba sedikit walaupun bukan semua, bagaimana kehidupan Pilot Realiti vs Pilot Fiksyen. Ingat akan kata-kata imam Syafie pada awal artikel ini...

Sekain,

~Drebar Bus~

#RealitiVsTiVi
#JanganMainTekanPunatAutopilot

Artikel 35: Pilot Realiti dan Pilot TV

TUGAS JURUTERBANG BUKAN SETAKAT MENEKAN BUTANG "AUTOPILOT" SIRI 2

Soalan kuiz hari ini ialah:
Apakah nama penuh EFB?

Kali ini saya ingin membawa anda ke kepulauan Lombok. Lombok ialah satu kepulauan yang terkenal secara tiba-tiba sahaja dik kerana kisah cinta antara gadis Malaysia dan jejaka Lombok atau sebaliknya. Mungkin ada kisah menarik yang anda tahu dan boleh kongsi dengan saya jika ada.

Sebelum kita "love till Jannah" dengan warga Lombok, kita tinggalkan dulu kisah cinta Lombok :). Jom kita rujuk pada gambar di bawah. Ini adalah EFB yang digunakan di dalam ruang kemudi Airbus 330 kami. Di luar ialah kepulauan Lombok, manakala di dalam ialah chart ataupun peta Lombok dipaparkan oleh EFB.

Terdapat garisan-garisan lurus yang dipanggil Airways. Airways terdiri dari satu abjad diikuti dengan nombor antara 1-999. Kelihatan juga nombor nombor yang besar, mewakili ketinggian selamat dari paras mukabumi.

Angka atau nombor berwarna merah menunjukkan ketinggian selamat yang boleh dilalui kapal melebihi paras 10,000 kaki.

Jika kapal hilang ketinggian dan terbang melangkaui paras minima ini, kemungkinan kemalangan boleh berlaku. AUTOPILOT tidak dapat bertindak apa-apa jika kemungkinan ini berlaku. Jadi saya rasa anda boleh agak ia tugas siapa kan?

Jadilah seseorang yang bijak dengan mengatakan "Tugas juruterbang bukan setakat menekan butang Autopilot".

Anda mampu mengubahnya.

2: EFB