Tugas Juruterbang BUKAN setakat menekan butang AUTOPILOT - Siri 5




Assalamualaikum dan selamat pagi sahabat "Aviator"!


Soalan kuiz hari ini ialah:

Apakah nama lapangan terbang bagi OEJN?


Saya berasa sedikit sayu pada hari ini. 5 tahun dahulu, semasa bertugas sebagai juruterbang mengendalikan pesawat Boeing 737-400 atau B734, ada peluang untuk mengendalikan pesawat lebih besar iaitu Airbus 330 atau A330. Semasa itu A330 ada mengendalikan penerbangan ke Jeddah.


Dengan hajat di hati ingin membawa penerbangan ke Jeddah membawa jemaah haji dan umrah, saya memohon untuk menyertai A330. Apabila selesai latihan, apa yang mengejutkan saya, A330 tidak lagi membuat penerbangan ke Jeddah. Setelah itu, saya meneruskan rutin kerja dengan pesawat baru dengan hati terbuka.


Setelah menunggu hampir 5 tahun, akhirnya A330 kembali membawa penumpang ke Jeddah. Saya gembira, dan semalam, saya bersama krew lain, membawa jemaah umrah dan penumpang untuk MH150 dan MH151.


Di dalam gambar, ini adalah "chart" untuk membuat pengumuman bagi kawasan Miqat iaitu tempat terakhir bagi jemaah berniat umrah. Dengan berpandukan rajah, saya memasukkan arah lokasi ke dalam FMC bagi mendapatkan lokasi dan masa yang tepat melalui kawasan Miqat.


Setelah itu saya akan mengumumkan kepada penumpang, agar jemaah yang yang berniat umrah dapat melakukan persiapan akhir seperti memakai ihram dan berniat ihram bagi yang belum.


Semoga, para jemaah dapat melakukan ibadah umrah dengan sempurna. Jika anda perhatikan di dalam "chart" tersebut, kawasan Mekah adalah kawasan LARANGAN penerbangan ke atas ruang udaranya, bagi mengHORMATI kesucian Kaabah.


Sekian sahaja untuk siri kali ini.


AUTOPILOT hanyalah sistem bantuan kepada juruterbang. Ia tidak dapat berfikir dan bertindak sendiri tanpa input dari juruterbang. 


Jadilah seseorang yang bijak dengan mengatakan "Tugas juruterbang bukan setakat menekan butang Autopilot".


Anda mampu mengubahnya.

5: Jeddah flight & Miqat

Tugas JURUTERBANG BUKAN setakat menekan butang AUTOPILOT - SIRI 4




Selamat pagi sahabat "Aviation" semua!


Soalan kuiz hari ini ialah:

Ada dua jenis Airbus 330 yang digunakan oleh Malaysia Airlines, apakah siri A330 untuk Kargo?


Pada sekitar tahun 2000, sebuah pesawat dari Beijing ke Kuala Lumpur berlepas membawa bahan kimia yang tidak diisytihar dengan betul oleh sebuah syarikat di China. 


Ia terbang seperti biasa, membawa muatan penumpang dan kargo. Setelah mendarat di KLIA, penumpang pun keluar dari pesawat, begitu juga muatan kargo.


Semasa muatan dibawa keluar, staff kargo mengadu sakit. Beberapa kesan dari bahan kimia yang dibawa didapati merosakkan bahagian kapal, dan akhirnya kapal tersebut ranap sepenuhnya akibat kebocoran bahan kimia tersebut.


Apa yang ingin saya tekankan pada episod kali ini ialah, tugas yang dikatakan sesenang menekan Autopilot ini sebenarnya mempunyai banyak risiko kepada krew penerbangan, bahkan juga penumpang yang dibawa.


Masyarakat kita pada hari ini, terdedah dengan maklumat semudah dihujung jari. Patuhilah peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. JANGAN membawa barang barang yang pelik-pelik ke dalam pesawat, apatah lagi yang dilarang.


Mujur kes yang berlaku di atas hanya merosakkan pesawat sahaja, dan penumpang selamat. Jika bahan tersebut merosakkan pesawat semasa penerbangan, apalah nasib penumpang dan krew penerbangan tersebut.


AUTOPILOT hanyalah sistem bantuan kepada juruterbang. Ia tidak dapat berfikir dan bertindak sendiri tanpa input dari juruterbang. 


Jadilah seseorang yang bijak dengan mengatakan "Tugas juruterbang bukan setakat menekan butang Autopilot".


Anda mampu mengubahnya.

4: Dangerous Goods

TUGAS JURUTERBANG BUKAN SETAKAT MENEKAN BUTANG "AUTOPILOT" SIRI 1



Soalan kuiz hari ini ialah:

Apakah nama penuh ND?


Ada 6 alat paparan yang sama ukuran di dalam ruang kemudi Airbus 330. 4 daripadanya berfungsi untuk memaparkan EFIS. EFIS ialah electronic flight instrument system. ND adalah salah satu daripada 2 paparan EFIS.


Sila rujuk gambar. Ini adalah ND2 di bahagian co-pilot. ND boleh memaparkan 6 jenis pilihan maklumat iaitu ROSE LS, ROSE VOR, ROSE NAV, ARC, PLAN dan ENG. ND juga boleh memaparkan RADAR cuaca, kecuali dalam pilihan PLAN. Seperti di dalam gambar, ini adalah pilihan ARC. 


Anda boleh lihat ada 4 bentuk berlian ♦️didalam paparan. Ia adalah maklumat pesawat yang terbang berdekatan kita. Di sebelahnya ada nombor yang memberi maklumat ketinggian pesawat tersebut.


Di sepanjang laluan penerbangan, bukan hanya kapal terbang kita yang menggunakan laluan udara ini. Ada banyak lagi pesawat lain yang terbang melaluinya. Tugas juruterbang bagi memantau pesawat lain dengan menggunakan ND ini.


Pesawat-pesawat ini boleh terbang naik ataupun turun. Jika ia terbang di paras ketinggian yang kita lalui, kemungkinan kemalangan boleh berlaku. AUTOPILOT tidak dapat bertindak apa-apa jika kemungkinan ini berlaku. Jadi saya rasa anda boleh agak ia tugas siapa kan?


Jadilah seseorang yang bijak dengan mengatakan "Tugas juruterbang bukan setakat menekan butang Autopilot".


Anda mampu mengubahnya.

1: ND

Artikel 35: Pilot Realiti dan Pilot TV
by The Pilot


"Bila kamu tak tahan penatnya belajar, maka kamu akan menanggung perihnya kebodohan.. "
~Imam Syafie~

1. Nampak memang seronok dan indah. Dalam drama, mereka tunjuk Pilot tarik beg, berlegar legar di airport, jumpa jodoh, borak borak cinta, cewah! Hakikat yang tidak diketahui ialah kehidupan seorang pilot sebenarnya proses pembelajaran yang berterusan, sejak dari flying school, belajar, ujian, belajar, ujian tak habis-habis. Pendek kata memang tak boleh dipisahkan sampailah dia pencen nanti.

2. Semasa di flying school dia perlu belajar dalam kelas ground school untuk melalui exam PPL, CPL dan ATPL. Setiap ujian ini mengandungi 5 ke 8 subjek yang perlu dijawab dengan lulus. Markah lulus pula ialah 80%! (Lulus 80%?? Ya betul, itulah jangan tak tahu ya. Asyiklah sangat tengok tv tu.) Selain itu, dia perlu mempelajari type tech yang menjurus kepada mempelajari sistem pesawat dan limitation. Dia juga perlu mempelajari SOP mengendalikan pesawat single engine dan multi engine serta ujian menerbangkan pesawat.

3. Setelah dia melaporkan diri pada airline tertentu, dia kena mempelajari sistem pesawat yang lebih besar seperti Boeing 737. Manual untuk mengendalikan pesawat ini pula ada sebanyak 7-10 manual setebal 4 inci. Latihan demi latihan dalam simulator dia jalani sehinggalah dia boleh mengendalikan simulator dengan baik. Latihan ini termasuk latihan kecemasan seperti membuat takeoff dan landing bagi pesawat yang mengalami kerosakan enjin, 'decompression' dan sebagainya.

4. Ujian SEP (safety emergency procedure) bagi proses meninggalkan pesawat selepas melakukan pendaratan cemas, berenang, berkumpul, mengendalikan penumpang yang bermasalah, mengendalikan ancaman bom, mengendalikan penumpang sakit, keupayaan survivor di hutan, laut dan banyak lagi, ini pula dijalani setahun sekali.

5. Paling lumrah dalam kehidupan seorang pilot ialah dia kena menghadapi 'base check' dua kali dalam setahun ataupun lebih tepat lagi ialah pada setiap 6 bulan. Macam peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun lah kiranya base check ini. Ujian seperti normal procedure dan abnormal procedure diuji dalam simulator (model pesawat yang boleh bergerak 3 paksi di dalam sebuah dewan tertutup). Biasanya dijalankan dalam 3 hari termasuk ulangkaji CBT(computer base training)

6. Satu lagi ujian yang perlu dilalui oleh pilot ialah English Proficiency. Ujian ini baharu sahaja diperkenalkan pada 2010. Bagi yang mencapai Level 4, perlu menduduki ujian setiap 3 tahun, Level 5 setiap 6 tahun dan Level 6 pula tidak perlu lagi seumur hidup! :)

7. Kelas CRM (crew resource management) di jalankan dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan Airline tersebut. Ia juga adalah satu cara bagi memberi latihan kepada pilot dan krew kabin terutamanya bagi mengendalikan SOP normal dan abnormal. Isu-isu terkini akan disentuh bagi mencegah 'incident' dan 'accident' dan menambah kecekapan penerbangan.

8. Setiap tahun, pilot perlu melalui ujian kesihatan. Kita maklum bahawa ia penting bagi memastikan keupayaan kesihatan juruterbang yang baik bagi mengendalikan beratus-ratus penumpang. Saya pasti anda mahu pesawat yang dikendalikan oleh pilot yang sihat bukan?

9. Oh ya, ada satu lagi ujian yang perlu dijalani setiap tahun oleh pilot. Ia dipanggil 'line check'. Ujian ini dijalankan pada pesawat sebenar, bagi memastikan pilot mengikut SOP ataupun standard operation procedure yang terkini. Seorang instructor yang juga seorang captain, akan duduk di dalam kokpit dan memerhatikan bagaimana pilot mengendalikan pesawat.

10. Nah, jika anda berjaya membaca sampai ke poin yang ke 10 ini, saya pasti anda adalah seorang yang cekal dan boleh mengikuti latihan sebagai seorang pilot. Saya doakan anda berjaya. Jumpa anda nanti setelah anda menyarungkan jersi eh, maaf, uniform seorang juruterbang :) ehem ehem.

Sekarang anda telah pun ketahui serba sedikit walaupun bukan semua, bagaimana kehidupan Pilot Realiti vs Pilot Fiksyen. Ingat akan kata-kata imam Syafie pada awal artikel ini...

Sekain,

~Drebar Bus~

#RealitiVsTiVi
#JanganMainTekanPunatAutopilot

Artikel 35: Pilot Realiti dan Pilot TV

TUGAS JURUTERBANG BUKAN SETAKAT MENEKAN BUTANG "AUTOPILOT" SIRI 2

Soalan kuiz hari ini ialah:
Apakah nama penuh EFB?

Kali ini saya ingin membawa anda ke kepulauan Lombok. Lombok ialah satu kepulauan yang terkenal secara tiba-tiba sahaja dik kerana kisah cinta antara gadis Malaysia dan jejaka Lombok atau sebaliknya. Mungkin ada kisah menarik yang anda tahu dan boleh kongsi dengan saya jika ada.

Sebelum kita "love till Jannah" dengan warga Lombok, kita tinggalkan dulu kisah cinta Lombok :). Jom kita rujuk pada gambar di bawah. Ini adalah EFB yang digunakan di dalam ruang kemudi Airbus 330 kami. Di luar ialah kepulauan Lombok, manakala di dalam ialah chart ataupun peta Lombok dipaparkan oleh EFB.

Terdapat garisan-garisan lurus yang dipanggil Airways. Airways terdiri dari satu abjad diikuti dengan nombor antara 1-999. Kelihatan juga nombor nombor yang besar, mewakili ketinggian selamat dari paras mukabumi.

Angka atau nombor berwarna merah menunjukkan ketinggian selamat yang boleh dilalui kapal melebihi paras 10,000 kaki.

Jika kapal hilang ketinggian dan terbang melangkaui paras minima ini, kemungkinan kemalangan boleh berlaku. AUTOPILOT tidak dapat bertindak apa-apa jika kemungkinan ini berlaku. Jadi saya rasa anda boleh agak ia tugas siapa kan?

Jadilah seseorang yang bijak dengan mengatakan "Tugas juruterbang bukan setakat menekan butang Autopilot".

Anda mampu mengubahnya.

2: EFB

Artikel 52: Aviation, Birthday, CNY & Dangal (ABCD?)
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Telah bertanya seorang Arab Badwi kepada Rasulullah SAW. “Aku mahu menjadi orang paling baik.” Baginda SAW menjawab: “Jadilah orang yang berguna kepada masyarakat”..
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

1. Cerita, cerita, cerita. Semua orang sukakan cerita. Tak kisahlah mendengar cerita, membaca cerita, atau menonton cerita. Cerita suatu medium komunikasi yang tak dapat dipisahkan dari manusia.

2. Ketika masih kanak-kanak, satu kisah yang emak akan bacakan (ala-ala bed time story, cuma mak akan bacakan cerita ini ketika lepas Asar) kisah Iblis bertemu syaitan. Masa itu, fikiran ini membayangkan bagaimana agaknya bentuk iblis itu dalam jelmaan manusia.. hum.

3. Waktu di sekolah rendah, masuk pertandingan bercerita di dalam kelas. Ketika itu bawakan kisah bagaimana Iblis bertemu Nabi Idris. Boleh baca di sini:
http://kisahislamiah.blogspot.my/2014/02/mata-iblis-ditusuk-jarum-oleh-nabi.html?m=1
Akhirnya, buat persembahan akhir tahun di sekolah.

4. Saya memang sukakan cerita. Buku Siri Bercakap dengan Jin menjadi antara buku-buku kesukaan. Tajuk menakutkan, tapi isinya membawa kita yakin pada kuasa Pencipta alam semesta ini. Dialah satu-satunya yang patut kita tunduk, bukannya yang lain..

5. Manusia itu memang sukakan cerita, Al-Quran diturunkan sarat dengan cerita. Cerita dan kisah sejarah yang membawa iktibar. Lebih lagi yang baiknya, ia memberi inspirasi pada kita untuk lebih banyak beramal. Kisah pemuda Ashabul Kahfi. Rasulullah s.a.w bersabda, diriwayatkan oleh Abi Said Al-Khudri, "Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi Hari Jumaat, Allah menerangi hidupnya antara Jumaat".

6. Antara pengajaran dari kisah ini ialah, bagaimana 7 orang pemuda yang benar-benar ingin menjaga iman, menyorok di dalam gua dari pemerintah yang zalim ketika itu. Sesuatu yang patut kita renung-renungkan..

7. Setiap tahun akan dapat 2 tiket percuma menonton wayang. Kali ini Dangal menjadi pilihan. Ia kisah benar bagaimana keazaman seorang bapa membesarkan dua orang anak perempuannya. Pada asalnya dia sedih kerana tidak dikurniakan anak lelaki. Akhirnya redha dengan taqdir. Airmataku mengalir lagi. Teringat pada ayah. Dah 6 bulan dia pergi.

8. Sehari lagi akan berumur 37 tahun. Sudah menjangkau 4 tahun lebih dari umur Nabi Isa diangkat ke langit. Tinggal 11 bulan lagi untuk menghabiskan 2017. 3 tahun lagi untuk 2020. Masa oh masa..

9. Dunia Aviation tak kenal waktu cuti. Waktu manusia lain bercuti, dia bekerja. Waktu dia cuti, manusia lain bekerja. Ada isteri mengandung, bila pulang dia sudah melahirkan. Ada baby kecil, sedar-sedar bila pulang kerja, sudah merangkak. Tak dapat hadir konvo tadika, ambil result UPSR. Sanak saudara meninggal dunia, kita jauh nun di sana beribu batu. Itulah pengorbanan Aviator. Menghargai masa yang ada bersama, bukan ketika tiada.

10. CNY, dentuman mercun dan bunga api. Anak kecil tersedar dari tidur. Dodoikan anak. Ambil wuduk solat tahajud. Berdoa hidup lebih berkat dan diredhai. Jauhi dari resah menyalahkan orang lain. Syukur, masih sihat di bumi sendiri.

#ThePilot
#toLivetoLovetoLearntoLeaveaLegacy

Artikel 52: Aviation, Birthday, CNY & Dangal (ABCD?)


Artikel 53: Pilot vs Pilih

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Telah bertanya seorang Arab Badwi kepada Rasulullah SAW. “Aku mahu menjadi orang istimewa di sisi Allah.” Baginda SAW menjawab: “Banyakkan zikrullah”..
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

1. Ketika ini saya dalam teksi. Perjalanan menuju ke Mekah dari Jeddah. Hajat mahu menunaikan solat subuh di dataran hadapan Kaabah. Saya telah memilih untuk ke Mekah bukan malam tadi. Bahkan semasa berada di KL lagi.

2. Sebaik sampai ke stesen teksi tadi saya memilih untuk naik teksi yang mana. Ada yang 70 riyal, ada 50 riyal, ada juga 10 riyal. Saya memilih berdasarkan maklumat yang saya bawa bersama iaitu pengalaman, pengetahuan dan juga maklumat semasa.

3. Berdasarkan pengalaman, teksi yang kurang penuh akan bergerak lambat. Berdasarkan pengetahuan, 10 riyal adalah tambang termurah untuk perjalanan 45min ke Mekah. Maklumat semasa pula, hanya 1 teksi yang ada. Dia mengenakan 20 riyal. Saya pilih untuk naik, saya mengejar waktu subuh yang akan masuk lagi 50min.

4. Anda juga membuat pilihan sebaik sahaja anda Mumaiyiz. Anda memilih untuk bangun awal, pergi ke sekolah, beri tumpuan dalam kelas, bertanya yang tidak anda fahami dan mengulangkaji.

5. Anda memulakan perjalanan ke tempat kerja dengan merancang masa perjalanan. Hati anda bersih, menghormati pemandu lain sebagaimana anda mahu dihormati. Anda bekerja dengan jujur dan tidak culas, curi tulang.

6. Ada antara anda yang bercita cita memilih untuk jadi pilot. Fahami hakikatnya pilot hanyalah sebuah pekerjaan untuk mencari rezeki. Ia bukan bagi memenuhi tuntusan nafsu, malah untuk berbangga dengan rakan rakan anda atau jiran anda, atau adik beradik anda. Nauzubillahi min zalik.

7. Keputusan menjadikan anak anda seorang pilot bukan bagi memenuhi tuntusan nafsu anda untuk berbangga dengan rakan sepejabat, jiran jiran atau sahabat handai anda. Bukan bagi memenuhi tuntusan nafsu mengejar glamor mahu anak jadi macam Farah Amin. Bukan bagi memenuhi tuntusan nafsu mahu anak anda mendapat gaji banyak tiap-tiap bulan.

8. Kerjaya pilot satu rutin harian yang sama. Duduk menghadap instrumen yang sama. Duduk dalam kapsul pressure melalui cuaca yang menggila. Duduk dilambung dan Digi can't melalui awan awan CB. Anda memikul tanggungjawab bagi memastikan penumpang dan pesawat selamat tiba dari poin A ke poin B.

9. Belajar bertanggungjawab. Kumpul maklumat dan pengetahuan agar anda jadi lebih bertanggungjawab.

#Sekain
#SelamatTerbang
#ThePilot #toLivetoLovetoLearntoLeaveaLegacy
— at Kilo 8 Makkah Road Jeddah, Saudi Arabia.

Artikel 53: Pilot vs Pilih

Artikel 54: Soalan dari Ariff Iskandar, " ATC cakap taxi to the Ramp, Ramp tu apa?".
by The Pilot


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
"Siapa yang menasihatimu secara sembunyi-sembunyi maka ia benar-benar menasihatimu. Siapa yang menasihatimu di khalayak ramai, dia sebenarnya menghinamu''..
-Imam asSyafie-
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~




• Sebelum menjawab soalan ini, so far, I belum pernah dapat instruction ini.

• Baiklah. Ramp secara umumnya merujuk pada kawasan di dalam sesebuah lapangan terbang. Umumnya, ia digunakan bagi meletak pesawat. Ia bukanlah terminologi piawai (standard terminology) dalam dunia penerbangan. Biasanya ia diguna pakai oleh sahabat-sahabat drebar di US, Filipina, Canada dan juga Maldives.

• Ada nama lain yang merujuk pada kawasan di lapangan terbang seperti Terminal, Apron, Bay, Gate, Parking, Gateway mahupun Tarmac.

• Standard nama bagi Ramp ialah Apron. Ia ditetapkan oleh pihak ICAO dan juga FAA bagi tujuan penyelarasan dan mengelakkan kekeliruan.

• Walaubagaimanapun, ada lapangan terbang yang menggunakan nama Terminal bagi mewakili Apron.

• Bagi Parking, Gate dan Bay pula, ia digunakan bagi menamakan posisi meletakkan pesawat. Biasanya ia akan diikuti dengan abjad dan juga nombor. Contoh: Gate A2.

• Gateway pula digunakan di Japan bagi membezakan Taxiway dan juga taxi ke Gate.

• Tarmac adalah panggilan tidak standard yang telah digunakan oleh pihak media bagi merujuk Open Bay (Parking tanpa Aerobridge)

Nah, sekarang anda juga telah tahu serba sedikit istilah dalam dunia penerbangan.!

Terima kasih pada Ariff Iskandar kerana bertanya.

Pic: Kelihatan krew pesawat sedang turun dari sebuah pesawat yang diletakkan di kawasan open bay (tanpa aerobridge)

Sekain,
#ThePilot
#toLivetoLovetoLearntoLeaveaLegacy

Artikel 54: Ramp tu apa

Artikel 55: Pilot sebagai penumpang? (Biar betul?)
by The Pilot


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
"Orang yang berilmu dan beradab, tidak akan diam di kampung halaman. Tinggalkan negerimu, merantaulah ke negeri orang"*
*-(Imam asSyafie)-*
🌎🌍🌏
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Disclaimer:
(Saya bukanlah orang yang pandai dalam dunia penerbangan. Baru 10 Tahun sahaja dalam bidang ni. Saya cuma bagi pendapat sahaja. Kalau salah boleh betulkan di komen. No heart feeling bro. Chill..)

• Kali ini satu istilah yang biasa bagi krew yang mungkin anda belum pernah dengar ialah 'Paxing'.

• 'Paxx' ataupun 'paxing' kadang kala juga dipanggil 'deadhead' atau 'deadheading' - 'kepala mati' (hum macam pelik pula bila diterjemah ke bahasa melayu kan!).

• Secara mudahnya, krew paxing ialah krew yang berada dalam pesawat tersebut tetapi tidak bertugas untuk pesawat tersebut. Dia mungkin perlu bertugas dari destinasi apabila tiba nanti. Dia mungkin juga sudah habis tugasan dari tempat berlepasnya pesawat tersebut.

• Boleh jadi dia perlu terus bertugas setelah sampai ke destinasi. Atau pun dia akan berehat dahulu di hotel dan akan bertugas pada keesokan harinya ataupun 2, 3 hari perlu berehat dahulu di destinasi. Ia bergantung kepada jumlah jam penerbangan dan juga kekerapan penerbangan yang ada bagi sesebuah penerbangan. (Saya percaya ia agak rumit juga hendak difahami).

• Oleh itu jangan berasa musykil atau curiga jika anda dapati seorang pilot duduk di sebelah anda. Boleh jadi dia duduk di tempat duduk kelas ekonomi, mahupun kelas perniagaan. Ia bergantung kepada kekosongan tempat duduk di dalam pesawat tersebut.

• Krew paxing merangkumi kepada Pilot, Steward/ess, Engineer, mahupun Load Master. Oleh itu, tanyalah soalan-soalan yang berkaitan kepada mereka kerana ini merupakan peluang keemasan anda!

Pic: Sebagai penumpang berbaju awam.

Selamat terbang Aviator!
Sekain,

#ThePilot #Lifeinspired
#toLivetoLovetoLearntoLeaveaLegacy

Artikel 55: Pilot sebagai penumpang


Artikel 56: Terima kasih
by The Pilot


Artikel kali ini adalah catatan terima kasih buat semua yang memberi sokongan pada perjalanan hidupku. #Lifeisajourney...

12.03.2007. Ia adalah tarikh aku mula berkhidmat sebagai juruterbang sebelah kanan.
24.04.2017 pula ialah tarikh penerbangan terakhirku sebagai juruterbang sebelah kanan.

Terima kasih kepada syarikat penerbangan kerana memberi peluang ini. Bermulalah sesi 'ground school' semula, menjalani latihan sebagai seorang 'commander' pula.

Penerbangan terakhir pesawat 'wide body', menjadi kenangan manis apabila ditemani isteri dan anak perempuanku. Apa yang menariknya dapat set krew kabin dan juga kokpit yang ohsem begini!

MH133 dan MH130:
Captain Zainal Abidin
Captain Muzamil
IFS Eddy Chong
LS Edmund Ong
LS Raymond Lee
FS Cathy Chan
FS Damai Husna
FS Vicky Yap
FS Cherlyn Yeow
FS Paula
FS Joanne Tham
FS Nur Izzati

Terima kasih, terima kasih dan terima kasih kepada anda semua yang sentiasa menyokong #ThePilot !

#MH
#CrewLife

Artikel 56: Terima kasih

Artikel 57: Go Around dan Rakaat Solat
by The Pilot









1. Bagi setiap penerbangan, pendaratan adalah penamatnya. Bagi kebanyakan penumpang, pendaratan yang baik, petunjuk kepada penyudah suatu penerbangan yang baik.

2. Bagi solat pula, salam adalah rukun yang kedua belas dalam solat. Tertib pula ialah rukun yang terakhir. Setelah kita yakin solat kita sempurna barulah salam diberikan sebagai penutup solat.

3. Semasa pesawat bersedia untuk mendarat, ada 9 kriteria yang perlu dipenuhi bagi melakukan suatu pendaratan yang baik. Kriteria ini dipanggil 'Stabilised Approach'. Jika salah satu kriteria ini tidak dipenuhi, pilot perlu 'Go Around' dan memilih untuk melakukan cubaan pendaratan semula.

4. Semasa solat, ada 3 jenis rukun yang perlu kita penuhi. Ia adalah Rukun Qauli (kata-kata), Rukun Fi'li (perbuatan) Rukun Qalbi (hati). Jika salah satunya tidak dipenuhi, maka cacatlah rakaat tersebut. Kita boleh memilih bangun semula dan menambah satu rakaat lagi bagi memperbaiki rukun solat kita.

5. Tiada had bagi melakukan 'Go Around' dan cubaan mendarat melainkan jumlah minyak yang dibawa.

6. Tiada had bagi bangun dan melakukan semula raakat melainkan terbatalnya wuduk.

7. Seorang pilot yang baik, perlu fokus dan penuhi 9 kriteria stabilised approach.

8. Seorang muslim yang baik, perlu fokus dan memberi tumpuan kepada 3 rukun dalam nombor 4. Terutama sekali ialah Rukun Qalbi.

Pic: Kokpit Boeing 737-800, Kapten Iskandar dan FO Wan Nazirul Mubin.

#Sekain
#ThePilot

Artikel 57: Go Around dan Rakaat Solat

Artikel 58: Adakah anda berpuas hati dengan pencapaian anda?
by: The Pilot







1. Pada tahun 2003, ketika saya berumur 23 tahun (sekarang anda tahu umur saya boleh diingat dengan mudah, 2003=>20+03=23. 2017=>20+17=37) saya baru sahaja menghabiskan ijazah di sebuah universiti tempatan.

2. Kawan baik saya seorang guru, risau bila saya hanya duduk di rumah. Dia ajak saya mohon jadi guru sandaran di sekolahnya. Tanpa fikir panjang, saya pun setuju, mengapa tidak? Sekurang-kurangnya saya melakukan sesuatu.

3. Saya tidak dapat tawaran kerja dalam bidang yang saya ambil di universiti. Dalam masa yang sama, saya masih cuba memohon pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan yang saya ada. Tapi tiada jawapan. Ada juga memohon untuk jadi kadet pilot.

4. Selepas habis sekolah, saya akan mengajar tuisyen bagi murid-murid dalam mata pelajaran matematik dan sains. Begitulah rutin hidup saya selama beberapa bulan. Saya bersyukur dan gembira dengan apa yang buat.

5. Selepas tamat kontrak sebagai guru sandaran, saya masih meneruskan mengajar tuisyen. Saya dipelawa untuk menjual kereta pula. Di sinilah saya sedar, kemahiran berkomunikasi itu penting untuk kita menjual sesuatu.

6. Proses demi proses dilalui, sampailah kepada proses interview. (Sebenarnya saya tak lepas ujian pertama psikomotor. Tapi saya tak kecewa pun, saya mohon lagi) Saya masih ingat lagi soalan pihak penemuduga, mengapa mohon jadi pilot? Saya jawab, saya perlukan kerja!

7. Kini setelah 10 tahun bekerja, walaupun ia bukan cita-cita asal saya, ia telah banyak mengubah kehidupan saya. Ia mengubah cara saya berfikir, cara saya bergaul dan secara keseluruhannya, ia mengubah diri saya sendiri. Saya rasa amat bersyukur kerana diberikan pekerjaan ini.

8. Dalam hidup ini, kita tidak akan sempurna. Apa yang boleh kita lakukan ialah, kita cuba sebaik mungkin mencapai kesempurnaan. Bagi anda yang tidak berjaya sekarang, jangan risau sangat. Teruskan hidup, peluang akan datang bila tiba masanya.

PerSOALANnya ialah, adakah anda sudah bersedia apabila peluang anda sampai nanti?

PS: Brian Tracy kata, orang yang tidak bersedia, apabila peluangnya sampai, dia akan kelihatan bodoh terpinga-pinga.

Pic: Bersama Krew Kabin menunggu pesawat tiba.

Artikel 58: Puas hati

Artikel 59: Safe Flight
by: The Pilot













1. Safe flight. Mudah sahaja ungkapan ini. Mungkin bagi sesetengah orang, ungkapan ini sering diungkapkan kepada sahabat handai ataupun saudara mara. Biasanya sebelum terbang, pasti.

2. Bagi krew penerbangan pula, ia suatu kata keramat. Setiap kali bertugas, ia ibarat ungkapan terakhir. Tak tahu bila lagi kami akan bersua muka. Mungkin dapat lagi terbang bersama, mungkin juga tidak lagi.

3. Namun, selepas peristiwa yang berlaku pada tahun 2014, ungkapan ini memberi maksud yang lebih dalam lagi. Lebih-lebih lagi kepada keluarga MH sendiri. Ia walaupun ungkapan yang biasa, suatu doa kepada rakan sejawat yang lain.

4. Siapa tahu, mungkinkah ini penerbangan terakhir untuk dia? Mungkinkah ini juga penerbangan terakhir untukku? Kata orang, hanya jauhari mengenal manikam. Hanya yang merasainya faham, dan juga rasa.

5. Aku juga sering gunakan ungkapan ini. Terserempak sahaja rakan sekerja, sebelum terbang, semasa terbang, mahupun selepas terbang. Pandang, salam dan senyum. Walaupun dalam hati, terdetik, janganlah yang terakhir. Oh Tuhan..

6. Aku ada terdengar, rakan yang lain memberikan ungkapan yang berbeza. Katanya, 'Good Flight'. Ia suatu ungkapan yang baru bagiku. Walaupun aku biasa ungkapkan 'Good Day' bila berkomunikasi dengan ATC. Namun bagiku, ia memberiku rasa yang berbeza.

7. Aku rasakan ia meberiku harapan baru. Harapan yang lama aku nantikan. Ya lama. 3 tahun peristiwa itu berlalu. Jika ada anak kecil, 3 tahun adalah usia yang sangat menyeronokkan. Bermain, belajar dan memahami akan hidup ini. Masa untuk membongkar akan nikmat kehidupan.

8. Secomel anak kecil 3 tahun, MH sudah mula berlari. Larian yang penuh yakin. Larian menggunakan sepasang kaki yang baru. Berlari dengan penuh gembira, seriang seoarang anak kecil.

9. Berlarilah MH, berlarilah. Hanya satu yang ingin kuungkapkan, 'Good Flight'!

#MH
#GoodFlight

Artikel 59: Safe Flight

Artikel 60: Pilot dan Raya
by: The Pilot


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Telah bertanya seorang Arab Badwi kepada Rasulullah SAW. “Aku mahu menjadi orang istimewa di sisi Allah.” Baginda SAW menjawab: “Banyakkan zikrullah”..
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

1. Puasa.
Awak puasa penuh kah pada tahun ini? Syukur lah awak. Sebab apa? Hari Raya ni adalah hari kesyukuran. Tanda kejayaan melawan lapar, dahaga dan nafsu selama 30 hari atau 29. Bagi siapa yang tak cukup? Cuba lagi tahun depan jika panjang umur lah ya..

2. Syukur dah Raya.
Penting sangat ke bersyukur ni? Allah swt berfirman, "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah nikmat kepadamu.." Syukur ada banyak tingkat. Masa kita tadika, kita faham erti syukur berbeza dengan sekarang. Ia suatu proses kematangan kita. Ia perlukan usaha..

3. Beraya dengan Keluarga.
Kalau anda perasan pada malam raya tempoh hari, ada cerita drama "Mak tak bagi balik" di kaca tv. Pada Hari Raya dia nak bersama dengan keluarga. Tapi disebabkan bapak dia sakit, tak dapat nak bagi duit untuk dia balik. Tu sebab mak dia tak bagi balik. Kesian. Beraya tanpa keluarga memang pedih. Mak kita je faham kehendak kita. Kita tak cakap pun mak kita tahu dah apa yang kita nak betul ke betul?

4. Cuti Raya.
Bagi pilot, cuti Hari Raya perlu dipohon. Boleh jadi dapat, boleh jadi tak dapat. Bergantung kekosongan. Pilot ni bekerja tak kira hari, tak kira masa. Pilot bekerja macam kerja kilang. Ada 'shift' malam, kadang-kadang 'shift' siang. Bagi kerja pejabat, Sabtu dan Ahad dikira hari tidak bekerja. Bagi pilot, hari tidak bekerja diganti hari lain. Tak semestinya Sabtu dan Ahad. Jika hari tak bekerja ni jatuh pada Hari Raya, 'Yabedabedu' lah!

5. Bertugas pagi Raya.
Katalah taqdir pada tahun ini, seorang pilot tu kena bertugas. Dia pun pergilah terbang bersama krew lain. Masih perlu memakai 'uniform'. Ada orang tanya, takkan hari Raya kena pakai uniform? Ya mesti. Ia adalah identiti krew. Awak nak tak naik pesawat yang awak tak pasti, betul kah pak cik ni pilot? Kan.

6. Beraya di Udara.
Think positive. Masa ni lah pilot to boleh wish Selamat Hari Raya pada penumpang! Lagi best, dapat kuih Raya atau hadiah dari penumpang! Ada juga pilot yang bagi duit Raya pada kanak-kanak. Siap bersalam masa turun dari pesawat. Memang suasana Raya betul terasa..

7. Sembahyang Raya
Kebiasaan kita akan pulang ke kampung halaman bagi menunaikan solat Sunat Hari Raya. Bila sudah berumahtangga, solat di kampung pasangan pula lah jawabnya. Apa yang menariknya, apabila bertugas pada hari Raya dan tidur di destinasi hentian, dia boleh solat sunat Hari Raya di situ. Kebanyakan tempat ada komuniti Muslim. Jika tidak, terpaksalah solat Sunat sendirian.. Part ni sedih habaq hang!

8. Balik Raya.
Perlu ada perancangan awal untuk balik Raya. Jadual pilot cuti tak sama kan. Saya sendiri hantar isteri dan anak ke kampung, seminggu awal. Elak jam di Lebuh Raya. Saya sendiri pulang setelah tugas selesai. Pulang seorang menggunakan pengangkutan awam ketika trafik sibuk, lebih melegakan dan menenangkan bukan..

9. Cerita.
Ini cerita krew penerbangan ketika musim Raya. Apabila jadual kerja perlu bertugas pada Hari Raya. Ia tak boleh dielakkan. Namun, ada satu pilihan terbaik yang boleh dilakukan. Anda boleh bawa sekali keluarga bercuti Raya ke destinasi tempat anda bertugas tu. Dua dalam satu, Raya sambil bertugas! Yang penting orang tersayang ada di sisi ketika berhari Raya!

10. Apa sahaja yang anda lakukan pada Hari Raya ini, terima kasih kerana sudi membaca Artikel ini. Nah, anda sudah pun tahu, tugas juruterbang bukanlah setakat menekan punat Autopilot. Raya, raya juga. Jangan lupa Abang ketika makan lemang dan peripatetic palas tu ya!

Sekain,
Terima kasih kerana memilih Penerbangan Malaysia 🇲🇾.

Pic: Tahun lepas saiz XXL, tahun ni Abang dah pakai saiz L..

Artikel 60: Pilot dan Raya

Artikel 61: Pilot vs Emergency
by: The Pilot
#CurrentIssue

(Setiap pilot dilatih untuk mengendalikan pesawat dengan baik. Ia termasuk mengendalikannya dalam keadaan normal mahupun kecemasan. Untuk itu, pilot akan diuji setiap 6 bulan sekali. Keupayaan mengendalikan pesawat kehilangan enjin diuji di dalam simulator.)

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
(A) "Everything is under control in the cockpit. If you want to say a prayer, that might help too."
[Capt Ibrahim]

(B) "Ladies and gentlemen, this is your captain speaking. We have a small problem. All four engines have stopped. We are doing our damnedest to get them going again. I trust you are not in too much distress."
[Captain Eric Moody]
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

1. Seperti yang anda telah baca, (A) dan (B) adalah sedutan pengumuman dalam 2 buah penerbangan. Ia dilakukan oleh Captain, selepas mengalami masalah dengan enjin pesawat. Enjin pesawat mereka rosak.

2. Pesawat (A) melakukan penerbangan dari Perth ke Kuala Lumpur. Pesawat (B) pula terbang dari Kuala Lumpur ke Perth.

3. Peristiwa (B) berlaku pada tahun 1982. Manakala peristiwa (A) hanya berlaku beberapa hari yang lalu..

4. Pesawat (A) adalah buatan Airbus. Ia memiliki 2 buah enjin. Manakala pesawat (B) adalah buatan Boeing. Ia pula memiliki 4 buah enjin.

5. Apa yang paling berbeza ialah, pesawat A hanya rosak 1 enjin. Enjinnya tidak dapat diselamatkan. Pesawat B pula rosak keempat empat enjin. Ia boleh dihidupkan semula. Keempat-empatnya berjaya dihidupkan semula. Cuma satu enjin daripadanya mati semula tak lama kemudian.

6. Meskipun diuji, kebarangkalian seorang pilot berhadapan dengan situasi sebenar, amat tipis. Maksudnya, kebanyakan pilot tidak pernah berhadapan dengan situasi kehilangan enjin sebenar.

7. Bagi ujian simulator, pilot telah pun bersedia untuk menghadapinya. Ia telah dirancang. Bagi situasi Captain Ibrahim J dan Captain Moody, mereka tidak mengetahui ia adalah harinya. Hari di mana mereka perlu mengendalikan pesawat sebagai mana yang telah diuji di dalam simulator.

8. Seorang manusia yang memiliki emosi, dan berhadapan dengan kecemasan, saya sifatkan pengumuman Captain Ibrahim adalah sangat baik. Penumpang tidak mahu tahu terlalu 'details' akan apa yang berlaku. Apa yang penumpang mahu tahu, Captain tersebut mampu mengendalikan pesawat dengan baik dan 'confident'.

9. Sebagai manusia yang beragama, doa adalah satu cara kita percaya. Kita percaya dan yakin akan satu kuasa yang menguasai segala-galanya. Kuasa yang menggerakkan pesawat, dan memberhentikannya. Doa adalah tanda seorang manusia itu tidak putus asa dan harapan.

10. Akhir sekali saya berpesan, tugas juruterbang bukan setakat menekan butang Autopilot. Jangan cepat melatah akan sesuatu perkara, tanpa usul periksa.

PS: Teringat akan kata-kata Kapten Norudin pada tahun 2014 dahulu: “di mana sains berakhir di situ kuasa Allah bermula”..

Sekain,
Terima kasih kerana memilih Penerbangan Malaysia

Artikel 61: Pilot vs Emergency